Jika Anda Bergelar Ibu Susuan, 10 Perkara Penting Ini Mesti Diketahui!


Hari ini ramai ibu-ibu yang bergelar ibu susuan kepada anak orang lain. Anak susuan ialah bayi yang berusia kurang dua tahun dan telah disusukan oleh seseorang wanita yang bukan ibunya sebanyak lima kali penyusuan penuh atau sehingga bayi tersebut kenyang.

Islam membenarkan seorang ibu untuk menyusukan bayi lain kerana dalam sesetengah situasi ia memberikan kebaikan dan memenuhi keperluan tertentu seperti ketika ibu bayi tersebut meninggal dunia sewaktu kelahiran ataupun ibu itu menghidap sakit yang menghalangnya daripada menyusukan anak.

Islam menggalakkan perbuatan tersebut sebagai satu cara dalam melakukan kebajikan sesama manusia. Nabi Muhammad s.a.w sendiri mempunyai ibu susuan iaitu Tsuwaibah al-Aslamiyah dan Halimah al-Sa'diyah.

Berikut ialah fakta tentang status ibu dengan anak susuan daripada Ustaz Mohd Fikri Che Hussain yang mesti difahami dengan betul oleh semua orang Islam.

1. Jika seorang wanita itu menyusukan seorang bayi, maka bayi itu menjadi anak susuannya dan suaminya, malah dikira sebagai mahram. Tetapi mesti mematuhi dua syarat iaitu:

a. Penyusuan dilakukan ketika usia bayi di bawah dua tahun dengan kiraan kalendar Hijrah. Sekiranya penyusuan berlaku kepada bayi berusia lebih dua tahun, ia tidak dikira sebaga mahram dengan ibu dan ayah susuannya.

b. Wanita itu telah menyusukan bayi berkenaan sebanyak lima kali susuan pada waktu yang terpisah-pisah. Penyusuan yang kurang daripada lima kali susuan tidak membabitkan persoalan mahram.

2. Jika sudah memenuhi dua syarat, maka bayi yang disusukan oleh ibu susuan menjadi anak susuan. Sekiranya bayi itu lelaki, haram hukumnya untuk mengahwini ibu susuannya.

3. Anak susuan juga haram mengahwini perempuan yang pernah disusukan oleh ibu susuan yang sama, termasuk anak-anak perempuan dan cucu perempuan daripada ibu susuannya.

4. Adik-beradik susuan daripada anak kandung ibu susuan dan ayah susuan dikira sebagai mahram muabbad (kekal). Mereka tidak boleh berkahwin, tidak batal wuduk serta batas aurat seperti adik-beradik kandung.

5. Hubungan dengan ahli keluarga lain seperti ibu saudara, ayah saudara, anak ibu saudara dan sebagainya tetap bukan mahram.

6. Ayah susuan tidak boleh menjadi wali kepada anak perempuan susuan. Dia masih perlu mendapatkan ayah kandung sebenar sebagai wali perkahwinannya. Jika tidak ditemui makan anak susuan tadi perlu menggunakan khidmat wali hakim.

7. Anak susuan tidak berhak ke atas harta peninggalan ibu susuannya daripada aspek pembahagian pusaka. Namun dibolehkan jika pemberian harta kepadanya berbentuk hadiah atau wasiat yang tidak melebihi 1/3 dari harta ibu susuannya.

8. Bagi mengelakkan berlaku perkahwinan di antara ahli keluarga anak susuan, maka ibu susuan mesti memberitahu kepada suami atau keluarga terdekat bahawa dia telah menyusukan bayi tersebut sejak usianya kecil.

9. Hubungan silaturahim di antara ibu susuan dan anak susuan hendaklah tidak terputus, terutamanya di antara dua belah keluarga tadi.

10. Ibu susuan mesti menerangkan secara terperinci kepada ahli keluarga terdekat supaya tidak berlaku percampuran perkahwinan dan kekeliruan pada masa akan datang.

Bagi memudahkan rujukan, ketahui siapakah yang akan menjadi mahram kepada anak susuan secara kekal.

* Ibu yang menyusukannya.
* Suami ibu susuan.
* Ibu bapa kepada ibu susuan.
* Ibu bapa kepada suami ibu susuan.
* Adik-beradik kepada ibu susuan.
* Adik-beradik kepada bapa susuan.
* Anak-anak dan cucu kepada ibu dan bapa susuan.
* Anak-anak dan cucu kepada ibu susuan.
* Anak-anak dan cucu kepada bapa susuan.
Post a Comment (0)
Previous Post Next Post