MEMPEROLEH keputusan cemerlang bukanlah mudah tanpa usaha yang betul dan konsisten.
Begitu jua bagi anak gadis dari Kluang, Johor ini yang bukan sahaja berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional malah turut ditawarkan kemasukan terus (fast track) pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Berkongsi kisah kejayaannya itu, Wan Norsyafiqah Arinah Wan Norazmi berkata, dia seorang yang mementingkan nilai pendidikan sejak kecil.
Malah sikap suka menyiapkan kerja sekolah semasa menunggu pertukaran cikgu mata pelajaran membuatkan dia menjadi pelajar cemerlang.
"Semasa tunggu pertukaran cikgu di kelas, memang saya akan cuba siapkan semua kerja sekolah yang ada supaya tidak membuang masa. Ia akhirnya jadi tabiat saya.
"Ibu bapa juga mementingkan nilai pendidikan sejak saya kecil dan mereka ibarat kunci pertama dalam pendidikan yang membuatkan saya suka untuk belajar," ujarnya yang baru menginjak usia 26 tahun.
Semasa majlis konvokesyen baru-baru ini.
Meskipun mencatatkan keputusan cemerlang sejak di bangku sekolah, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui masanya tidak hanya digunakan untuk belajar semata-mata.
Dia sebaliknya bijak membahagikan masa dengan melakukan pelbagai aktiviti lain termasuk berniaga.
"Saya bukanlah seorang yang study hard tetapi saya suka ambil tahu dan belajar. Pada masa sama suka berniaga.
"Jadi memang saya tak bebankan diri semata-mata untuk belajar," luahnya yang kini menjual cornflakes madu.
Pernah bercita-cita untuk menyertai pasukan keselamatan negara, dia bagaimanapun melupakan hasrat berkenaan selepas menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.
Tambahan pula, impiannya itu tidak diberi galakan oleh kedua ibu bapa kerana sedikit lasak.
"Saya tak dapat galakan sangat walaupun ayah seorang tentera. Oleh itu, saya ambil keputusan untuk sambung belajar dalam bidang pendidikan.
Saya bukanlah seorang yang study hard tetapi saya suka ambil tahu dan belajar.
WAN NORSYAFIQAH ARINAH
"Apabila berjaya mengikuti kursus, saya menjadi bertambah minat untuk mendalami kerjaya ini kerana melihat pelajar yang rajin belajar dan menyenangkan hati.
"Selain itu, saya mahu menjadi pendidik yang membantu masyarakat dalam bidang pendidikan," luahnnya penuh karisma.
Bercerita lanjut, Arinah juga berharap dia akan menjadi salah seorang penyumbang dalam bidang pendidikan negara sekali gus melihat sektor itu membentuk teras utama pembangunan negara.
Pencapaian Arinah membolehkannya pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, dia ditawarkan mengikuti pengajian pantas PhD selepas tamat ijazah.
Tidak menunggu lama, Arinah terus menerima tawaran berkenaan dan berusaha untuk menghabiskan pengajian dalam tempoh tiga tahun ini.
Disebabkan pencapaian dan prestasi akademi yang dikekalkan, ibu bapanya menghadiahkan sebuah kereta untuknya.
Kisah anak gadis yang mesra disapa Arinah ini mendapat perhatian ramai selepas dia berkongsi perjalanannya dalam bidang pendidikan menerusi TikTok hingga meraih hampir sejuta tontonan.
Arinah menerima hadiah kereta daripada ibu dan ayahnya.
Ia menjadi inspirasi ramai sehingga ada yang mahu Arinah berkongsi tip untuk belajar dan mencapai kejayaan sepertinya.
"Definisi sebenar beauty with brain. Semoga berjaya dunia dan akhirat.
"Tahniah. Boleh tak kongsi cara belajar dan urus masa?
"Sis bagi tips macam mana belajar," ujar beberapa warga maya.
Sumber : mStar