USIANYA mungkin masih muda, namun pemikiran kanak-kanak ini sudah cukup matang seperti orang dewasa.
Pada umur 12 tahun, kanak-kanak ini sanggup menggalas tanggungjawab yang besar iaitu menjaga ibu yang terlantar sakit kerana diserang strok atau angin ahmar.
Ketika kanak-kanak sebayanya menghabiskan masa di sekolah, dia memilih untuk mengutamakan ibu terlebih dahulu berbanding pelajaran.
Kisah sedih kanak-kanak malang bernama Iman itu dikongsikan oleh seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang juga merupakan aktivis sosial Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.
"Seorang murid tahun 6, Iman didapati selalu tak hadir ke sekolah. Setelah sekolah siasat, rupanya anak ini menjaga emak yang strok. Bila Cikgu Zahran maklumkan pada aku kes ini, kami terus buat kunjung ziarah.
Ibu Iman terlantar kerana diserang strok.
"Hantar lampin pakai buang, hantar makanan dan bagi bantuan. Selepas kunjungan dari pihak sekolah dan pihak Dana Kita hulur sumbangan, anak ini kembali rajin ke sekolah," kongsi Mohd Fadli dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Mohd Fadli, sumber pendapatan keluarga Iman bergantung kepada kakak dan abangnya yang bekerja di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota, memandangkan bapa mereka sudah meninggal dunia.
"Kakaknya berusia 17 tahun berhenti sekolah sejak tingkatan satu kerana hidup susah. Abang dan kakak inilah yang kerja di M3 Mall untuk menyara emak dan adiknya.
"Mujur Baitulmal MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) ada beri bantuan bulanan RM500 sebulan. Ringanlah sikit beban mereka.
"Namun RM500 sebulan nak jaga orang str0k, nak beli barang dapur, memang sangat-sangat tak cukup. Harap sangat ada pihak MAIWP ziarah keluarga ini dan nilai semula zakat bulanan itu. Kalau dapat naikkan sedikit lagi, syukur," kongsi Mohd Fadli.
Tidak mahu kanak-kanak tersebut keciciran dalam pelajaran, Mohd Fadli berkata pihaknya menerusi Dana Kita akan menyalurkan bantuan keperluan pembelajaran.
Apa jua keperluan pembelajaran, pakaian, yuran, tuisyen dan sebagainya Dana Kita akan bantu sampai tamat belajar, InsyaAllah.
MOHD FADLI SALLEH
GURU
"Aku sungguh-sungguh berpesan agar anak bongsu ini habiskan belajar sampai SPM.
"Apa jua keperluan pembelajaran, pakaian, yuran, tuisyen dan sebagainya Dana Kita akan bantu sampai tamat belajar, InsyaAllah.
"Semoga anak ini terus kuat semangat dan berjaya mengubah nasib keluarga. Amin," kongsinya lagi.
Sehingga kini posting tersebut meraih 255 shares di Facebook.
Mohd Fadli bersama Iman dan kakaknya.
Menjengah ruangan komen pula, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati terhadap kanak-kanak berkenaan malah ada yang turut menyuarakan hasrat untuk turut sama menghulurkan bantuan.
"Cikgu boleh berikan alamat. Nak beri bantuan lampin pakai buang.
"Baik cikgu, berita diterima. Roger and out semoga dipermudahkan segalanya. Saya support yang termampu.
"Kalau dekat dengan saya, boleh saya urus mak dia. Adik Iman pergi sekolah... tapi saya jauh di utara," demikian antara komen netizen.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.