Gerai nasi lemak ibu ‘bergegar’, gadis penggulung popia terlompat-lompat gembira dapat 8A! Rupanya tak tinggal solat tahajud setiap malam

SUASANA tenang sebuah gerai nasi lemak di tepi jalan di Bukit Naga, Seksyen 32 di Shah Alam, Selangor tiba-tiba dikejutkan dengan suara jeritan.

Mana tidaknya, anak kepada peniaga berkenaan tidak dapat menahan keterujaannya sebaik menyemak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikeluarkan pada Khamis.

Rakaman aksi gadis itu terlompat-lompat kegirangan kemudian dimuat naik ibunya di TikTok.

Berkongsi keterujaan kepada mStar, Julina Amnor berkata, anak perempuannya, Nur Syafiqah Azmi yang berusia 18 tahun memperoleh keputusan SPM 8A.

Wanita berusia 43 tahun itu memberitahu, berita gembira itu diketahui ketika sedang berniaga bersama keluarganya sehingga mengejutkan pelanggan dan orang sekitar.

"Syafiqah bantu saya dan suami berniaga di gerai. Dia kemudian semak keputusan secara online dapat 8A, dia tak sangka dapat A sebanyak itu.

"Peperiksaan percubaan SPM sebelum ini dia cuma dapat 2A. Anak tiba-tiba menjerit sampai terlompat-lompat di gerai. Pelanggan pun pelik tengok masa tu," katanya ketika dihubungi.

Syafiqah ketika menerima keputusan SPM di SMK Jalan Kebun, Seksyen 32, Shah Alam.

Lebih dikenali sebagai Wok, Julina menyedari betapa sukarnya anak keduanya daripada tiga beradik itu untuk berusaha keras bagi mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

"Saya nampak kerja keras dan struggle dia. Bukan setakat belajar, tapi juga bantu saya berniaga kalau hari cuti. Awal pagi bangun subuh selepas tu bantu saya berniaga di gerai, malam dia gulung popia untuk jualan kuih esoknya.

"Setiap malam dia akan ingatkan saya supaya kejutkan dia bangun awal pagi untuk solat tahajud dan belajar sebab saya akan bangun awal untuk buat persiapan makanan seperti nasi lemak dan kuih-muih," ujarnya yang berasal dari Jengka, Pahang.

Syafiqah (belakang, kanan) membantu ibunya berniaga di gerai.

Sementara itu, Syafiqah mengakui sukar untuk digambarkan dengan kata-kata betapa gembirannya memperoleh keputusan cemerlang yang tidak disangka-sangka.

"Saya rasa macam mimpi, dan bersyukur sangat dengan sokongan yang diberikan keluarga, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak memberi bimbingan serta tunjuk ajar.

Saya nampak kerja keras dan struggle dia. Bukan setakat belajar, tapi juga bantu saya berniaga.

JULINA AMNOR @ WOK

IBU

"Memang struggle sampai 'maraton' selama setahun menjelang SPM. Kebiasaannya saya belajar di rumah dan perpustakaan, tapi kalau tak ada pelanggan, saya akan belajar di gerai," katanya yang masih terkejut dengan keputusan 8A dan 1C.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun itu, dia mempunyai minat dalam perniagaan dan memasang impian untuk bergelar usahawan yang berjaya.

Syafiqah menggulung popia pada setiap malam.

Membantu ibu bapanya berniaga sejak Tingkatan 1, peminat penyanyi antarabangsa Taylor Swift itu secara purata membantu menggulung kira-kira 250 biji popia sehari.

Menurut ibunya, Syafiqah pernah menggulung sehingga 800 biji popia sewaktu berniaga di bazar pada Ramadan lalu.

Syafiqah (kanan) bersama keluarga yang banyak memberi sokongan kepadanya.

"Tangan tak kasar gulung popia, masih okay. Cuma saya lebih struggle untuk belajar. Memang bersyukur dapat banyak sokongan selain mengikuti kelas tuisyen secara online.

"Setiap malam belajar kalau tak masuk dalam otak memang stres. Tapi saya ingat pesan mak supaya usahakan dulu dan reda apa yang diusahakan.

"Dan saya percayakan diri untuk dapat straight A. Bagi saya, apa yang penting jangan putus asa, dan tunjukkan usaha kita kalau mahu berjaya," katanya lagi.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

 

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post