Genap setahun kahwin duda 5 anak, suami sakit dan disahkan demensia! Isteri cekal jaga, cari rezeki teruskan hidup


GENAP setahun berkahwin, takdir menentukan suami kepada wanita ini jatuh sakit pada malam sambutan ulang tahun perkahwinan mereka.

Menurut Azura Ali, 41, kisah gelap dalam rumah tangganya berlaku setelah genap setahun dia berkahwin dengan duda anak lima, Shamsir Shaari pada 2 Ogos 2020, yang mana suaminya terpaksa dikejarkan ke hospital akibat sakit kepala melampau.

Bercerita kepada mStar, Azura berkata suaminya mengalami pendarahan pada otak (brain aneurysm) dan mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Melaka.

“Suami betul-betul sakit malam tu... dia dah tidur dalam pukul 10 tapi terjaga pukul 12 malam dan kejutkan saya minta hantar pergi klinik. Dia dah tak tahan sakit kepala.


“Masa saya siap nak pergi klinik suami dah tak sedarkan diri. Terus saya call 999 (talian kecemasan). Rupanya suami ada pendarahan dalam otak.

“Dua minggu suami tak sedarkan diri masa dapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Dia terpaksa lakukan pembedahan di kepala untuk pulih semula,” ujarnya mengimbas kejadian pada 2021.

Selepas pembedahan menutupi bahagian salur darah pecah berjaya dilakukan, suaminya yang sebelum ini terlantar sebulan di HKL dibenarkan pulang.

Memandangkan pada ketika itu mereka sukar untuk berulang alik ke HKL, fisioterapi hanya dibuat di rumah di Melaka bagi membantu suaminya berjalan semula.

Kecekalan Azura yang merupakan suri rumah menjaga suaminya yang menghidap penyakit 'tiada ubat', demensia sering dikongsikan di platform TikTok sehingga mendapat perhatian ramai.

“Suami masih terbaring sebulan lebih dan masih tak boleh duduk lepas keluar wad. Saya bantu dia buat latihan sendiri di rumah saja seperti belajar duduk, naik kerusi roda dan berjalan.

“Memang fokus nak bagi dia berjalan saja sebab senang nak buat pemeriksaan berkala dekat HKL. Tapi hujung 2021 suami kena tahan semula di HKL sebab badan lemah.

“Kami dah tak ada pilihan jadi doktor cadangkan masukkan suami dekat pusat rehabilitasi Socso di Melaka. Selepas dua bulan dekat sana, doktor kesan yang memori suami jadi lemah dan alami demensia,” ujarnya.


Keadaan Shamsir apabila semakin pulih dan boleh menguruskan diri sendiri.

Oleh kerana kedua-dua mereka tidak lagi dapat bekerja, Azura membawa suami pulang menetap di kampungnya di Negeri Sembilan.

Mengakui agak sukar menyesuaikan diri pada mulanya hidup di kampung lebih-lebih lagi untuk berulang alik ke Kuala Lumpur, Azura bersyukur apabila adik beradik banyak membantu selama suaminya sakit.

Bercerita mengenai keadaan suaminya sekarang, Shamsir yang dahulunya merupakan penyelia logistik mengalami masalah ingatan (short term memory loss) sehingga kini.

Sebagaimana dikongsikan dalam video tular di TikTok, suaminya kelihatan semakin pulih berbanding dahulu namun tidak sepenuhnya.

“Ada perkara dia ingat, ada yang tak. Tapi kebanyakannya memori lama-lama dia masih ingat. Dia masih kenal anak-anak cuma otak dia hanya ingat yang mereka masih kecil. Dia tak ingat anak-anak sudah dewasa.

Rindu suami masa dia sihat dulu... cuma dengan kondisi dia sihat macam dulu mungkin makan masa.
AZURA

“Anak-anak semua duduk dengan bekas isterinya dekat Petaling Jaya. Waktu cuti saja kami akan melawat mereka. Kalau hari-hari biasa kami cuma akan buat panggilan video saja untuk berinteraksi.

“Sekarang saya lega dan bersyukur bila tengok suami boleh uruskan diri sendiri. Dia boleh bantu saya buat kerja rumah yang mudah-mudah. Contohnya lipat dan sidai kain, bagi kucing makan dan basuh pinggan. Saya siap boleh minta dia pergi kedai beli barang sendirian,” katanya lagi.

Dia yang mencari rezeki dengan berniaga dalam talian akur dengan ujian diberikan Allah.

Jika diteliti pada ruangan komen video-video dikongsikan, sememangnya ramai yang memuji ketabahan Azura dalam menjaga suami yang sakit.


Walaupun merindui suami yang 'dulu', Azura akur dengan takdir Allah.

“Rindu suami masa dia sihat dulu... cuma nak sihat macam dulu mungkin makan masa. Masa sihat dulu, Shamsir ni serius orangnya. Jarang nak gelak ke bersedih ke. Sejak baik (pulih) daripada sakit ni, melawak saja memanjang. Bila tengok orang lemah dari dia, dia akan sedih sebab cepat sensitif.

"Suami pun sekarang dah berstatus OKU (Orang Kurang Upaya) tapi kami tak dapat apa-apa bantuan. Walaupun demensia tak ada ubat untuk pulih saya bersyukur sangat sekurang-kurangnya dia dah boleh urus diri sendiri.

“Selebihnya kami semua masih boleh happy dengan keadaan dia sekarang. Semua orang sentiasa positif sebab kalau saya ‘down’ macam mana pula nak jaga dia,” ujarnya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.


Post a Comment (0)
Previous Post Next Post