ANAK angkat kepada pelakon dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London iaitu Abu Hanifiah Md Saleh mendedahkan arwah kerap berzikir semasa sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut Abu, arwah berada dalam keadaan tenang melawan penyakitnya itu dan memberikan respons baik setiap kali menerima kehadiran pelawat.
"Bila saya datang dia berzikir walaupun lidah dia ditekan dengan alat bantuan pernafasan... dia pun akan buat aksi macam sedang solat.
"Dia memang dah bersedia, sebab itu nampak dia tenang dan pergi di penghulu hari," katanya kepada mStar.
Mat London meninggal dunia pada pagi Jumaat.
Abu berkongsi perkara itu ketika ditemui Masjid Al Mardhiyah, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mat London menghembuskan nafas terakhir di HKL kira-kira pukul 5.57 pagi.
Dalam pada itu, Abu juga memberitahu dia mengagumi sikap arwah yang tidak mahu menghampakan setiap orang.
Malah, sepanjang dia tinggal bersama Mat London, arwah melayannya dengan begitu baik sekali.
"Dia seorang pendengar yang baik, dia tak nak menghampakan orang lain dan sentiasa ingin mendamaikan orang lain," kongsinya.
Sementara itu, anak keempat Allahyarham iaitu Salmany Akir Ahmad pula berkata dia dan adik beradik lain sudah bersedia menerima berita pemergian bapanya itu.
Kata Salmany, 42, bapanya itu pergi dalam keadaan tenang sesudah azan subuh.
"Abang saya sempat rakam mesin denyutan jantung dia pada waktu itu, sebaik sahaja azan Subuh dalam 5.57 pagi memang ayah pergi.
"Ketika itu kita cuma tunggu pengesahan daripada doktor sahaja," ujarnya.
Dia ada tersedar minta kunci kereta untuk pergi bekerja.
SALMANY AKIR AHMAD
ANAK MAT LONDON
Mengimbau kenangan perbualan terakhir bersama Allahyarham, Salmany berkata dia sempat mengurut arwh sewaktu berada di wad.
Malah bapanya juga pernah meminta kunci kereta semasa tersedar daripada ditidurkan ketika ICU, baru-baru ini.
"Kali terakhir saya berpeluang bercakap dengan dia semasa dia baru-baru masuk hospital, dia minta saya urut dia dan kami sempat bergurau senda ketika itu.
"Dia seorang yang suka berkerja, semasa ditidurkan dia ada tersedar minta kunci kereta untuk pergi bekerja. Dia siap cakap dia ada mesyuarat dengan menteri," ujarnya.
Pemergian Mat London satu kehilangan yang besar buat industri seni.
Sejak 26 Jun lalu, Allahyarham dirawat di ICU dan terpaksa ditidurkan berikutan keadaan paru-paru dan jantungnya yang lemah.
Mat London sebelum itu dimasukkan ke HKL pada 13 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Taman Melawati Kuala Lumpur untuk disolatkan dan dikebumikan selepas solat Jumaat.
Selain presiden FDAM, Mat London juga seorang pengarah filem seperti Kelisa, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa dan Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
Untuk rekod, Mat London pernah mendirikan rumah tangga dengan dramatis Datin Fadilah Mansor pada 18 Oktober 1989 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alia Farhani, 32 dan Faeesal Aswad, 29.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.