RAMAI yang sebak menyaksikan video seorang wanita meraung apabila dua ekor kucing peliharaannya menjadi mangsa ular sawa.
Menerusi video berdurasi kira-kira seminit itu, kelihatan dia seperti hilang kawalan namun cuba ditenangkan oleh seorang wanita bertelekung.
Dapat dirasakan betapa luluh hatinya sebaik mendapat perkhabaran duka mengenai kucingnya yang mati ditelan seekor ular, dan seekor lagi maut akibat dibelit.
Sayu berkongsi cerita kepada mStar, wanita berkenaan, Nur Afiqah Zainudin berkata, kejadian berlaku di kediaman keluarganya di Shah Alam, Selangor pada 4 Julai lalu.
Nur Afiqah memberitahu, ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja di Kuala Lumpur namun insiden berkenaan dipercayai berlaku waktu subuh.
"Sebelum pulang dari tempat kerja pukul 9 pagi, adik saya menghantar WhatsApp beritahu jangan kurung anak kucing dan saya membalas okay.
"Apabila saya tiba di rumah, saya melihat sangkar kucing sudah terbuka dan makanan kucing berterabur. Saya bertanyakan adik tentang kucing-kucing dan dia beritahu dah mati.
"Saya terkejut dan meraung macam hilang arah. Ibu yang baru selesai solat cuba menenangkan saya," katanya ketika dihubungi mStar.
Dua ekor daripada tiga kucing ini mati angkara seekor ular sawa.
Wanita berusia 28 tahun itu tampil menjelaskan bahawa sebanyak tiga ekor kucing ditempatkan dalam sangkar untuk dihantar bagi vaksinasi.
"Ada komen di video mempersoalkan kenapa kurung kucing dalam sangkar? Salah satu sebabnya kerana ia perlu ditempatkan secara indoor untuk dipastikan sihat sebelum divaksin.
"Masa kejadian tu, ada tiga ekor kucing di dalam sangkar iaitu Moji, Haehae dan Ceddy. Saya tidak mahu tiga ekor kucing tu dijangkiti penyakit daripada kucing-kucing yang lain," ujarnya yang berasal dari Shah Alam.
Keadaan seekor kucing yang terbujur kaku.
Jelas Afiqah lagi, kejadian itu disedari adik lelakinya yang sempat melihat ular sawa berkenaan meragut dua ekor kucingnya masih berada di dalam sangkar.
"Ular masuk dalam sangkar dan menelan Moji sebelum membelit Haehae. Ceddy pula terselamat," ujarnya dengan nada sebak mengenai kematian dua daripada 15 ekor kucing yang dibelanya.
Seekor anak kucing ditelan ular sawa.
Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, dia menganggap kucing sebagai sebahagian daripada jiwanya sendiri.
"Setiap kali pulang daripada tempat kerja, mereka akan berlari ke arah saya. Lebih setahun saya bela dua kucing tersebut. Alhamdulillah, dua ekor ni tak pernah sakit sepanjang hayat mereka.
Cara kucing-kucing ni 'pergi' membuatkan saya tergamam... tak sanggup dan tak mahu membayangkan.
NUR AFIQAH ZAINUDIN
"Antara yang dikenang adalah sifat manja kucing-kucing ni. Paling tak dilupakan adalah pandangan mata kucing-kucing ni ketika saya beri makanan dan peluk," katanya.
Namun Afiqah yang merupakan pembantu penyediaan makanan tidak menyangka begitu cara pengakhiran dua kucing kesayangannya.
Salah seekor kucing yang mati dikebumikan.
"Cara kucing-kucing ni 'pergi' membuatkan saya tergamam. Saya tak sanggup dan tak mahu membayangkan. Sehingga ke hari ini, sangkar kucing tersebut tidak terusik.
"Saya masih takut untuk mendekati sangkar tersebut. Saya hanya sempat membawa Haehae untuk divaksin dan meluangkan masa bersama di dalam kereta," katanya lagi.
Hingga kini video yang dimuat naik kakak Nur Afiqah di akaun TikTok @eayazainuddin meraih lebih empat juta tontonan.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.