Pemandu Lori Tanah Hilang Dua Belah Kaki, Terlibat Nahas Empat Kenderaan
Seorang pemandu lori tanah hilang kedua-dua belah kaki apabila lori tanah yang dipandunya melanggar belakang sebuah treler tanpa muatan dan sebuah kereta sebelum terbalik di Jalan Pintasan Kuantan dekat Semambu pada Sabtu.
Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan empat buah kenderaan iaitu lori muatan tanah, treler tanpa muatan serta dua buah kereta.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, kemalangan tersebut berlaku kira-kira pada jam 12.15 tengah hari.
Pemandu lori yang menetap di Sungai Isap Perdana itu merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun.
Tambahnya, seorang pemandu lelaki yang memandu kereta Perodua Viva berusia 29 tahun dilaporkan mengalami kesan luka pada beberapa bahagian badannya.
Dalam pada itu, pemandu treler dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika keempat-empat kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Semambu menghala ke Gambang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori tanah dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang treler dan Perodua Viva sebelum terbalik melintang jalan,” ujarnya.
Jelas Wan Mohd Zahari, treler yang dilanggar lori mangsa telah menggelongsor sebelum kenderaan terbabit melanggar Perodua Axia yang bergerak perlahan di hadapannya ketika itu.
“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dirawat di wad kecemasan (zon merah).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Pelajar, Warga Emas Maut Motosikal Bertembung
Terdahulu, seorang pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di KM19, Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja, Parit pada akhir Julai lepas.
Memetik Bernama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian berlaku kira-kira 7.00 malam.
Ketika itu, pelajar yang berusia 17 tahun itu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC. Pelajar terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Bota Kiri ke Tanjung Belanja selepas mengunjungi surau berhampiran.
Warga emas berusia 64 tahun itu pula dilaporkan sedang menuju ke arah Bota Kiri dari Tanjung Belanja untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tua dengan menunggang motosikal jenis Honda Dash.
“Warga emas berkenaan yang merupakan pekebun dipercayai secara tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan pelajar yang bergerak lurus tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal warga emas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Yusri, kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang, Parit untuk bedah siasat. Manakala, kemalangan tersebut sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Siakapkeli
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.