MENJAGA ibu bapa yang sakit merupakan satu rezeki yang tidak semua orang berpeluang memilikinya.
Selain dijanjikan ganjaran pahala yang besar di akhirat, pengorbanan yang dilakukan pasti mempunyai hikmah serta memberi impak baik dalam kehidupan.
Berkongsi pengalamannya di Twitter, Deen menceritakan tentang hikmah yang diperolehi di sebalik menjaga ibu dan bapanya dalam tempoh yang lama.
"Saya jaga ibu masa tingkatan tiga sampai umur 25. Study sangkut (tidak dihabiskan). Korban demi keluarga.
"Berulang alik ke hospital setiap minggu naik bas ke hospital dengan jarak 83 kilometer sebab kami tak mampu memiliki kereta sendiri.
Seorang anak bongsu rungsing memikirkan cara untuk menjaga ibu bapa yang sakit. -Gambar hiasan
"Saya anak bongsu terpaksa berhenti kerja (lama) downgrade ke entry level punya kerja. Asalkan dapat kerja di lokasi boleh berjalan kaki sebelah hospital. Senang nak ulang-alik tengok mak," katanya dalam ciapan tular.
Menurut Deen, ibunya menghembuskan nafas terakhir tiga hari sebelum Aidilfitri beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka.
Bagaimanapun, dia sempat berbual dengan insan tersayang itu waktu tengah hari pada hari yang sama.
Katanya, dia sedang berada di tempat kerja ketika mendapat perkhabaran sedih mengenai kematian ibunya melalui panggilan telefon.
"Air mata lelaki mengalir buat kali pertama. Tidak lama selepas tu saya dapat kerja dekat satu tempat yang menakjubkan dan membeli sebuah kereta.
"Saya orang pertama dalam keluarga yang memiliki kenderaan sendiri. Memudahkan untuk bawa abah ke klinik kesihatan bila perlu.
"Orang kiri kanan (sekeliling) cakap itu rezeki pengorbanan jaga arwah mak. Saya jadi termenung rindu mendengarnya," luahnya dalam bebenang ciapan tersebut.
Tidak berapa lama selepas itu, ujar Deen, kesihatan bapanya menjadi semakin buruk akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Bapa Deen terpaksa bermalam di wad beberapa minggu untuk diberikan rawatan.
Lelaki ini mengalami masalah kewangan setelah kondisi bapa semakin parah. -Gambar hiasan
Deen terpaksa berulang-alik dari rumah untuk membawa bapanya ke hospital namun dia tidak menyatakan lokasi.
Disebabkan kesihatan bapa semakin merosot, dia terpaksa berhenti kerja walaupun kerjayanya semakin bagus, demi memberi keutamaan menjaga bapanya pula.
"Saya kerja sebagai freelance untuk jaga abah yang bedridden. Dari situlah mula belajar memasak sendiri. Bukan sedap tekak saja. Kami berdua mengimbau kenangan masa arwah ibu masak untuk kami. Terutama sekali tom yam.
"Apabila keadaan abah semakin teruk, simpanan dan duit gaji sebagai freelance semakin berkurang kami cuba survive (bertahan) dengan makan sekali sehari saja. Itu pun beli dari kedai tom yam sebelah rumah dengan jalan kaki.
Rasam macam hilang segala-galanya. Ujian itu diganti dengan ganjaran berbeza setiap daripada kita dalam sedar tak sedar.
DEEN
"Burnout (stres), depresi apa semua tak sedar. Apa yang saya peduli adalah ayah saya kena semakin pulih. Janji nak pergi masjid sama-sama bila sudah sihat. Teringin nak ke Kuala Lumpur merasa naik tren LRT sana," jelasnya.
Bagaimanapun, kesemua hasrat dua beranak ini tidak dapat dilaksanakan kerana si bapa dijemput ajal.
Pemergian kedua-dua ibu bapanya membuatkan Deen terkilan dan mengambil masa lama untuk menerima ketentuan takdir.
'Rasa macam hilang segala-galanya. Ujian itu diganti dengan ganjaran berbeza setiap daripada kita dalam sedar tak sedar.
"Saya diambil kerja dengan jawatan sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif) untuk melaksanakan tiga anak syarikat yang dipelbagaikan dua tahun kemudian (selepas kematian ibu bapa) pada usia 30.
Komen netizen di Twitter.
"Kini saya dikurniakan seorang isteri, yang melengkapi setiap kelemahan diri. Segala cacat cela dibantu perbaiki. Itu kurniaan Allah. Saya hanya seorang anak angkat saja yang membalas budi dan kasih sayang pengorbanan mereka," katanya mengakhiri kisahnya.
Kisah yang tular setelah beberapa jam dimuat naik ini menerima pelbagai reaksi netizen yang turut bersedih dengan kisah dikongsikan Deen.
Malah, ada juga warga maya yang turut berkongsi kisah hampir sama dengan apa yang dilaluinya sebelum ini.
"Saya menangis baca kisah awak. Besarnya pengorbanan seorang anak. Semoga kalian bertemu kembali di syurga.
"Apa yang kita lalui hampir sama. 30 Ogos ni genap setahun mak saya pergi.
"Ya Allah, tengah melalui sekarang. Semoga saya juga diberi kekuatan macam abang," komen netizen.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.