Mak terus sihat lepas tengok orked harimau berbunga, penantian 30 tahun berakhir! - “Kalau la abah masih ada”


Kelihatan orked harimau milik Ramlah yang ditanam akhirnya berbunga selepas 30 tahun.

BAGI mereka yang meminati aktiviti bercucuk tanam tumbuhan hiasan, pelbagai kaedah mahupun petua akan dilakukan bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

Pun begitu, ada kalanya segala jenis petua yang dikongsikan tidak berhasil pada tanaman tanpa diketahui punca sebenar sehingga ada yang berputus asa dengannya.

Seperti yang dikongsikan seorang pelayar TikTok Baenafell ini, pokok orked yang ditanam ibunya tidak pernah berbunga meskipun tumbuhan itu sudah berusia 30 tahun.

Namun dengan izin Allah, baru-baru ini orked harimau tersebut mengeluarkan bunga pertamanya sekali gus mengejutkan ibu serta seluruh ahli keluarganya.

Ellie berkongsi kisah pokok orked yang ditanam ibunya.

Tambahan pula pada masa itu, ibunya sedang sakit dan tidak mampu bangun untuk menguruskan tanaman seperti kebiasaannya.

Bercerita lanjut kepada mStar, Ellie Rahim berkata, sejak ditanam 30 tahun lalu pelbagai cara dilakukan ibunya supaya pokok orked harimau tersebut mengeluarkan bunga.

"Mak dah puas bagi macam-macam jenis baja, vitamin pokok serta ikut tip daripada orang ramai.

"Daripada baja murah hingga baja mahal, tabur kulit telur la, air beras, semua dah cuba. Tapi sekali pun tak pernah berbunga," luahnya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya, pokok tersebut ditanam ketika ibunya yang bernama Ramlah Awang Ahmad berusia 29 tahun.

Malah katanya lagi, ketika itu adik bongsunya baru berumur empat tahun.

"Sekarang mak dah bercucu tujuh orang dan adik bongsu pun dah ada du orang anak," ujarnya lagi.

Kalaulah abah masih ada, mesti dia gembira akhirnya dapat tengok orked harimau yang mereka sama-sama jaga macam anak sendiri dah berbunga.

ELLIE RAHIM

Pun begitu kata Ellie ibunya tidak pernah terfikir untuk membuang sebaliknya sentiasa 'bercakap' dan memujuk pokok tersebut untuk mengeluarkan bunga walaupun sekali.

"Mak selalu cakap dengan pokok-pokok dia... dengan orked harimau ni dah 30 tahun pujuk suruh berbunga tapi macam tu juga.

"Akhir sekali sebelum mak jatuh sakit sebulan lepas, mak cakap pada orked tu yang mak teringin nak tengok dia berbunga sebab dah 30 tahun tapi tak pernah ada lagi.

"Kemudian mak jatuh sakit. Pertama kali mak sakit yang lama dan tak boleh bangun sebab kena jangkitan kuman. Badannya lemah berpanjangan," tambahnya lagi.

Ellie bersama seluruh ahli keluarganya.

Menurut wanita berusia 34 tahun itu lagi, kesihatan ibunya kembali pulih selepas tiga minggu sakit terlantar.

Lebih mengejutkan dan menambah semangat apabila melihat orked harimau kesayangannya itu mengeluarkan bunga.

Disebabkan itu, ibunya meluahkan rasa syukur dan menyatakan dia kembali sihat selepas melihat bunga orked berkenaan.

" Mak cakap 'Alhamdulillah syukur Ya Allah berbunga awak ni'.

Ibu Ellie banyak menghabiskan masa dengan pokok bunga.

"Kemudian mak terus cakap yang dia rasa sihat dan hilang semua rasa sakit yang dialami hampir sebulan tu," katanya yang berasal dari Pekan, Pahang.

Mengimbau kenangan tentang orked tersebut dan arwah bapanya, Ellie berkata, hobi ibunya yang kini berusia 59 tahun sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga.

Malah arwah bapanya sanggup membina kolam ikan di keliling pokok bunga bagi mengindahkan sudut tanaman ibunya itu.

"Arwah abah meninggal 4 Oktober 2022 selepas 40 tahun hidup bersama dengan mak.

"Sejak dulu memang arwah abah rajin tolong mak jaga bunga-bunga dan dia sangat mendokong minat mak... tolong cantas pokok, buat pasu-pasu besar serta tempat gantung pokok.

"Boleh nampak kasih sayang abah pada mak ni luar biasa. Kalaulah abah masih ada, mesti dia pun gembira sangat sebab akhirnya dapat tengok orked harimau yang mereka sama-sama jaga macam anak sendiri dah berbunga," luahnya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post