Rindu seorang balu... Sebulan suami ‘pergi’, isteri masih tak tahu punca kemalangan ngeri - “Anak tanya kenapa lori ayah jatuh bukit?”

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Tarikh 1 Ogos lalu menjadi detik gelap dalam hidup Siti Nur Jannatul Ma'wa apabila suaminya, Mohd Izzad Mohd Saad yang bekerja sebagai pemandu lori maut dalam kemalangan jalan raya.

Menerusi kejadian di Bera, Pahang, lori yang dipandu Mohd Izzad dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke cerun bukit, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Siti berkongsi tentang kisah kematian suaminya menerusi TikTok.

"Dari cerita orang yang temukan arwah. Memang tiada saksi kejadian. Arwah ditemui sebab ada pekerja ladang yang dengar dua letupan selang beberapa saat.

"Kemungkinan letupan tayar yang pecah. Arwah meninggal di tempat kejadian. Masa ditemui memang dia dah meninggal," ujar Siti ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut, Siti yang memiliki dua cahaya mata berkata arwah turut berkelakuan pelik dan berubah sikap dalam tempoh seminggu sebelum kematiannya.

Cuma dengan anak, arwah jadi pemarah. Walhal arwah tak pernah marah anak. Sebelum ni arwah bapa yang penyayang.

SITI NUR HANNATUL MA'WA

"Saya tak bertemu arwah selama empat hari sebelum kematiannya kerana dia keluar bekerja. Tapi seminggu sebelum kejadian, arwah suka pakai barang saya. Perfume, baju, pergi kerja bawa botol air saya.

"Cuma dengan anak, arwah jadi pemarah. Walhal arwah tak pernah marah anak. Sebelum ni arwah bapa yang penyayang. Cubit anak pun tak pernah," ujarnya lagi.

Sementara itu menerusi tulisan luahan hatinya di TikTok pula, Siti berkata dia sebenarnya masih tertanya-tanya akan punca sebenar kejadian malang itu.

"Dah sebulan, sampai sekarang masih menjadi tanda tanya buat sayang dan kakak (anak) asbab lori abang bawa terbabas macam ni. Kakak tanya kenapa lori ayah jatuh bukit?

"Siapa saksi yang nampak abang masa kejadian? Siapa saksi yang jumpa abang dulu? Semua tu bermain di minda. Bukan tak reda dan ikhlas. Tapi pemergian abang terlalu mengejut," tulisnya.

Tambah Siti, dia kini bagaikan 'lumpuh' tanpa suami di sisi, malah banyak perkara yang perlu diuruskan sendiri demi kelangsungan hidup dengan anak-anak.

"Bukan sehari dua atau sebulan dua untuk sayang biasakan diri dan kuatkan hati. Anak-anak pun sama. Sekarang sayang kena mencorak langkah tanpa tujuan. Sayang perlu menyusun setiap rancangan sendiri.

Pasangan ini mempunyai dua cahaya mata.

"Selama ni sayang hanya bergantung pada abang. Nak pilih kasut dengan baju pun abang yang tentukan. Macam mana sayang nak berdiri untuk memikul semua yang abang tinggalkan?

"Terima kasih sentiasa ada dan bersabar dengan sayang selama ini. Dulu sayang tak nampak. Apabila abang dah tak ada baru sayang sedar banyak kurangnya sayang tanpa abang," luahnya lagi.

Sebulan sejak kejadian itu, Siti berkata dia kini mempunyai sedikit kekuatan untuk bercerita mengenai pemergian suaminya di media sosial.

"Sebulan sayang ambil masa kuatkan hati dan jiwa nak naikkan video ni. Bukan mudah sayang nak lupakan. Bukan mudah sayang nak tinggalkan abang. Jiwa sayang berbahagi.. Antara kasih dan hala tuju.

"Keperibadian abang sebagai suami dan ayah tiada galang ganti buat sayang dan anak-anak. Terima kasih menyantuni kami sepenuh jiwa abang. Terima kasih menggenggam cinta kita sampai akhir hayat," tulis Siti lagi.

Di TikTok, video memaparkan kren yang sedang mengangkat lori yang dipandu mangsa meraih lebih 200,000 tontonan.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post