Tengah main badminton tiba-tiba bunyi ‘pop’! Wanita meraung tulang bahu terkehel, kadar kesakitan paling maksimum


SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila mengalami kecederaan ketika bersukan, menyebabkan tulang bahunya terkehel.

Bercerita mengenai kejadian itu kepada mStar, Zurina Bugiran atau Erna berkata dia terpaksa menahan kesakitan tahap maksimum, malah rasa sakit itu turut dirasai sehingga ke tulang rusuk.

“Masa tengah pukul shuttle (bulu tangkis) tiba-tiba bunyi ‘pop’! Raket terus jatuh sebab saya tak mampu pegang langsung dan dalam keadaan saya terduduk di lantai.

“Saya tak boleh nak jelaskan rasa sakit tu sebab tangan kiri terus cramp sampai ke tulang rusuk dan tak boleh bergerak langsung. Tangan saya menggigil terus sebab terlampau sakit.

“Kesakitan dialami tu saya bagi rate (skala) 10 per 10. Saya tak benarkan orang bantu papah saya untuk bangun sebab tangan dah terkulai. Lama juga saya nak ambil masa untuk berdiri,” jelasnya.

Menurut Erna, insiden berlaku sewaktu dia bersama rakan-rakannya bermain badminton sebagai rutin senaman sejak lima bulan lalu.

Erna dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan.

Disebabkan rakan-rakan bimbang untuk membawa Erna ke hospital dalam keadaanya sedemikian, mereka terus menghubungi ambulans.

“Kawan-kawan saya terus call ambulans untuk dibawa ke hospital. Mereka takut nak bawa saya sebab nanti ada hentakan atau gerakan.

“Masa ambulans tiba saya sudah dibalut dengan armsling sementara tunggu nak pergi Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Waktu ambulans golek je tayar memang meraung sebab terhentak-hentak.

“Lepas x-ray tu doktor tunjuk jatuh jauh tulang tangan dari bahu. Jadi mereka terpaksa buat rawatan segera. Saya dah menangis-nangis masa tu,” jelasnya lagi.

Walaupun sudah dua dos ubat tahan sakit diberikan, Erna tetap menangis ketika berada di atas kerusi roda sambil menahan kesakitan.

Dia kemudian dibawa ke zon kuning untuk mendapatkan rawatan seterusnya dan diberikan ubat penenang supaya dia tidak merasai kesakitan untuk apabila kedudukan tulangnya diperbetulkan.

Sekarang saya terpaksa pakai armsling selama enam minggu.

ZURINA

“Lepas doktor masuk ubat tu memang mata terus lelap, tapi masih dengar dia bercakap. Saya boleh rasa doktor tarik tulang tu cuma masa tu dah layan ubat tidur. Tak sampai seminit dia bercakap, tulang dah masuk balik ke tempat asal.

“Mujurlah tulang dah masuk balik jadi temu janji seterusnya saya kena jumpa semula pakar untuk tengok sama ada kena buat pembedahan pasang skru atau tak. Sekarang saya terpaksa pakai armsling selama enam minggu.

“Sebenarnya soket bahu saya dah longgar. Dulu saya dislocated tempat sama pada 2017 sebab ada insiden kecil. Jadi kalau saya tak buat pembedahan nanti, perkara sama akan berulang lagi,” katanya lagi.

Erna aktif bermain sukan badminton bersama rakan-rakannya.

Jelas Erna yang menguruskan perniagaan sendiri, kejadian yang berlaku pada waktu malam di Xpark Sendayan, Negeri Sembilan itu dipercayai berlaku kerana dia tidak bersenam untuk memanaskan badan terlebih dahulu.

Walaupun tidak serik untuk terus bermain badminton, dia tetap berasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hobi baharunya atau melakukan sebarang aktiviti sukan buat masa sekarang.

Malah, dia berharap perkongsiannya ini dapat dijadikan sebagai iktibar kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika bersukan.

Dia turut mengharapkan orang ramai mendoakan kesembuhannya dan tiada sebarang berita buruk diterima untuk rawatan pada 5 Oktober akan datang ketika berjumpa pakar.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post