Wanita reda, cahaya mata ditunggu 9 tahun lemas bersama bapa


Berita tentang seorang warga emas berusia 78 tahun yang ditemui lemas di dalam kolam bersama cucu lelakinya berusia setahun tujuh bulan berhampiran Taman Kempas, Sungai Petani malam semalam tentunya mengejutkan ramai.

Memetik laporan dari Harian Metro, mangsa  yang juga merupakan datuk kepada bayi berkenaan ditemui terapung di dalam kolam sekitar jam 7.20 malam.

Ditemui lemas di dalam kolam

Menantu mangsa yang ketika itu keluar mencari bapa dan anaknya telah menghampiri kolam berkenaan selepas melihat orang ramai berada di lokasi tersebut.

Kedua-dua jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk urusan bedah siasat.

Anak yang ditunggu selama 9 tahun

Dalam pada itu, ibu kepada bayi berusia setahun tujuh bulan itu, Zarina Azmi, 34 memaklumkan yang anaknya, Ziyaaf Mikhail Muhammad Yuzarith sangat manja pada hari berkenaan dan hanya ingin bersama sehingga bapanya, Azmi Abdullah datang untuk membawanya berjalan-jalan sekitar jam 5 petang.

“Semalam, anak duduk seharian dengan saya. Dia manja dan peluk saya sebelum ayah saya datang ambil dia kira-kira jam 5 petang.

“Tak lama kemudian, saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak saya ditemukan lemas di kolam berhampiran restoran itu,” kata.

Namun, apabila mendapati datuk dan cucu berkenaan tidak pulang ke rumah, suaminya, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 35,  telah keluar mencari mereka sekitar jam 7 petang sebelum mendapat khabar menyedihkan itu.

Difahamkan, Ziyaaf Mikhail adalah anak tunggal mereka selepas menanti selama 9 tahun untuk mendapatkan cahaya mata.

“Sembilan tahun saya tunggu untuk dapatkan dia,” katanya.

Adik kepada Azmi Abdullah, Yusof Abdullah, 60 menyatakan yang kali terakhir bertemu arwah adalah bulan lalu. Dia sedia maklum bahawa abangnya memang kerap meluangkan masa bersama cucu memandangkan ibu bapa kanak-kanak berkenaan sedang bekerja.

“Arwah pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu, dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucunya.

“Memang menjadi rutin hariannya membawa cucunya itu meronda pada petang dengan menunggang motosikal memandangkan ibu dan bapa kanak-kanak itu bekerja,” katanya.

Cucu mungkin terjatuh, datuk nak selamatkan

Menurut daripada kenyataan beberapa pihak, Azmi dikatakan cuba menyelamatkan cucunya yang turun dari motosikal dan meluru ke arah kolam sebelum terjatuh. Namun apakah daya, kedua-duanya telah lemas dalam kejadian tersebut.

“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.

“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Matang Berangan.

Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli) / ohmymedia

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post