Guru tak kuat lihat pelajar dapat berita hilang ibu! Tak terucap kata-kata semangat, ‘sakit’ hilang ayah masih berbekas

Seorang pelajar yang kematian ibu mengingatkan Cikgu Anep kepada arwah bapanya.

HANYA mereka yang pernah mengalami kehilangan orang tersayang akan faham betapa sedih dan sakitnya berdepan situasi itu.

Ketika sedang sibuk menyiapkan kerja di dalam bilik, seorang guru mendapat perkhabaran duka mengenai ibu kepada salah seorang pelajarnya yang baru dijemput Ilahi.

“Tengah menanda kertas dalam bilik, ketua warden WhatsApp minta hantar pelajar ke jeti Kuala Perlis. Aku ingat aku dah kuat. Sampai je bilik dia, aku masuk terus pegang bahu dia.

“Kuat tau. Kuatkan semangat... terhenti ayat aku. Mata aku dah berkaca habis dah ni. Kelip sekali memang bercucuran air mata aku ni.

“Kau tahu, lepas abah meninggal, macam ada satu ‘butang’ dalam diri aku. Apabila tengok orang melalui kehilangan mak abah atau orang tersayang, automatik aku akan teringat perasaan masa aku hilang abah dulu. Sakit betul,” tulisnya menerusi satu ciapan di laman X.

Seorang pelajar mengemas barang sambil menangis kerana pemergian ibunya. -Gambar X @Cikgu_Anep

Berkongsi cerita, guru yang lebih dikenali sebagai Cikgu Anep berkata, ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga itu meninggal dunia di Langkawi, pada Khamis.

Menurut guru di sebuah sekolah berasrama di utara tanah air itu, khabar duka disampaikan oleh abang kepada pelajar berkenaan kira-kira pukul 8 malam.

“Di sekolah kami ada sistem keluarga angkat untuk setiap pelajar. Abang pelajar itu menghubungi ‘ibu angkat’ pelajar tersebut. Apabila dimaklumkan, dia terdiam agak lama.

“Selepas itu, dia mengemas beg dan baca Yasin sambil menangis sebelum kami hantar dia ke jeti untuk menaiki bot ke Langkawi sekitar 10 malam,” katanya kepada mStar.

Tidak dimaklumkan mengenai punca kematian, Cikgu Anep bagaimanapun menyifatkan pelajar itu sebagai rajin, amat bersopan-santun dan berbudi bahasa serta menghormati guru.

Anak kelahiran Johor itu turut memberitahu bahawa ia bukan insiden pertama dia perlu melihat pelajarnya kehilangan ibu bapa atau ahli keluarga terdekat.

“Banyak kali sebelum ini. Saya sendiri bekas pelajar asrama. Tapi rasa tu lebih membekas selepas merasai pengalaman kehilangan abah sendiri,” ujarnya yang berasal dari Pontian.

Pusara bapa yang meninggal dunia pada 2021. -Gambar Cikgu Anep

Mengulas lanjut, bapanya meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang ketika usia 67 tahun, pada 2021.

Menurut Cikgu Anep, ketika pertama kali mendapat tahu bapanya sudah tiada, dia seperti kehilangan separuh hidupnya.

“Saya kehilangan seorang abah, ketua dan juga sahabat. Saya kehilangan sebuah rumah... rumah yang sentiasa saya tuju apabila saya penat dengan urusan dunia.

“Sepenat mana saya, saya tahu, saya ada rumah untuk saya tuju. Saya sudah lama menjangkakan tibanya saat itu (kematian) bertahun-tahun sebelum itu lagi.

“Tapi dengan nama Allah, saya tak tahu ia akan sesakit dan seberat itu. Sakit yang membuatkan realiti tiba-tiba seperti mimpi. Mimpi yang sangat ngeri, walau cuba sekuat mana pun untuk saya keluar, saya tak mampu,” katanya.

Saya tak tahu ia akan sesakit dan seberat itu.

CIKGU ANEP

Cikgu Anep yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama enam tahun berkata, sudah menjadi rutinnya pulang memandu ke Johor setiap kali cuti sekolah.

Mengimbas kembali detik pulang ke kampung selepas pemergian bapanya, dia merasakan ia menjadi pemanduan yang paling jauh dan perjalanan ‘paling menyakitkan’.

Kenangan... Ibu bersama arwah abah. -Gambar Cikgu Anep

“Pedal minyak saya tekan sebawah mungkin, tapi saya rasakan seperti tidak bergerak. Dah tak fikir tentang hidup mati sendiri, hanya fikir nak sampai secepat mungkin.

“Sebenarnya saya bertolak pulang ke Perlis dari Johor pagi itu. Saya terima panggilan daripada mak (mengenai abah) masa baru sampai di Pulau Pinang sekitar 4 petang. Terus saya patah balik ke Johor.

“Sampai di halaman rumah, kaki saya terasa kaku. Jantung rasa bagai nak gugur. Allah sahaja yang tahu perasaan saat melihat jenazah kaku Abah,” ujarnya.

Malah, timbul tanda tanya dalam diri guru berkenaan apakah yang akan berlaku selepas ketiadaan bapa tercinta.

“Siapa nak tengok Sepahtu Reunion sama-sama lagi? Siapa nak bahan (gurau) Chelsea bila Chelsea kalah? Siapa nak buka cerita Cina lawan pedang lagi? Kami nak berbual dengan siapa lagi pasal JDT, pasal takraw, pasal badminton? Siapa nak tanya teka-teki tak best dan buat lawak hambar?

“Teringat masa nak kebumikan abah, saya berjanji untuk jaga mak macam abah jaga mak. Itulah yang saya cuba lakukan sekarang. Doakan saya sihat dan berjaya menjaga mak dan keluarga,” katanya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post