Sayf tidak dapat menahan tangis sebaik bertemu dengan bapanya selepas lebih 4 bulan 'terpisah'.
BERJAUHAN dengan keluarga demi tuntutan tugas bukanlah sesuatu yang mudah.
Sememangnya ia menuntut pengorbanan yang sangat besar, terutamanya melibatkan masa serta emosi.
Tempoh 'perpisahan' yang menjangkau sehingga berbulan-bulan lamanya membuatkan rindu yang ditanggung begitu berat, bukan hanya melibatkan pasangan suami isteri malah anak-anak.
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang tidak dapat menahan tangis sebaik melihat kelibat bapanya gara-gara terlalu rindu, membuatkan warga maya turut sebak.
Menurut wanita bernama Saqinah Mansor, video tersebut dirakam pada hari suaminya, Syafiq Zakaria, 35, pulang selepas lebih empat bulan berjauhan kerana tuntutan tugas sebagai seorang jurutera kapal.
Ujar Saqinah, dia dan suaminya sememangnya merancang untuk membuat kejutan kepada anak tunggal mereka, Sayf Qashid, 8, yang sentiasa menghitung hari menantikan detik tersebut.
"Kami dah rancang untuk buat surprise memandangkan Sayf sendiri request kalau daddy balik, dia tak mahu tahu tarikh sebenar. Dia suka perasaan surprise jumpa daddy dia.
"Saya ambil daddy dia di airport dan tunggu Sayf balik sekolah untuk surprise. Jadi video tu sebenarnya daddy dia menyorok di tepi tembok sekolah sebelum jumpa Sayf di tempat letak kereta di hadapan sekolah," kongsi Saqinah kepada mStar.
Gemar merakam momen bersama keluarganya, Saqinah mengakui dia sendiri tidak menjangka anak tunggalnya akan menangis sebaik bertentang mata dan memeluk suaminya.
Suami Saqinah bertugas sebagai seorang jurutera kapal yang menuntutnya sering berjauhan bersama keluarga.
"Ini pertama kali Sayf menangis apabila daddy dia pulang. Sebelum ni ada juga menangis, tetapi masa daddy nak mula berkhidmat (sign on kapal).
"Sejujurnya kami berdua terkejut dan sebak dengan reaksi Sayf. Saya sebagai ibu yang merakam video pun turut mengalirkan air mata melihat dia menangis," ujar wanita berusia 35 tahun ini.
Tambah Saqinah, dia dan Sayf sudah terbiasa dengan 'perpisahan sementara' yang pernah menjangkau sehingga hampir setengah tahun.
"Sepanjang berjauhan, sebenarnya semua rutin harian berjalan seperti biasa, cuma kalau Sayf betul-betul rindu, dia akan minta untuk video call daddy.
"Atau akan WhatsApp dan hantar voice notes pada daddy dia. Selain tu, kata Sayf, kalau dia betul-betul rindu, dia akan doa banyak-banyak supaya daddy cepat balik," ceritanya.
Saya sebagai ibu yang merakam video pun turut mengalirkan air mata melihat dia menangis.
SAQINAH MANSOR
Justeru itu tambah Saqinah, setiap kali pulang bercuti daripada tugasan, suaminya pasti akan memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin bersama keluarga.
"Selain pergi bercuti, kami juga meluangkan masa beriadah setiap hujung minggu bertiga. Sayf dan daddy dia berkongsi hobi yang sama iaitu bermain video game.
"Jadi kalau ada masa terluang, mereka berdua akan bermain game bersama. Juga tidak tinggal solat jemaah bersama di rumah," katanya lagi.
Setiap kali pulang bercuti, suami Saqinah akan memanfaatkan masa bersama anak tunggal mereka.
Mengakui tidak mudah untuk menjalani hubungan jarak jauh, namun Saqinah dan suaminya menganggap ia adalah sebahagian daripada ujian yang perlu ditempuhi.
"Kami berpegang kepada kepercayaan antara satu sama lain serta saling memahami. Kami reda dan serahkan semuanya dalam jagaan Allah.
"Saya tahu bukan mudah semua pasangan yang melalui apa jua jenis PJJ. Kepada semua pasangan PJJ, cipta dan hargailah momen apabila pasangan kita ada di sisi.
"Kerana masa kita dengan pasangan sangat terhad. Apabila pasangan kita jauh, doakan keselamatan, kesihatan, hati dan perasaan kita serta pasangan supaya sentiasa dalam peliharaan Allah. Semoga kita semua kuat menghadapi dugaan PJJ ini," akhirinya.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.