Pemuda ini sabar menjaga bapanya yang uzur.
SEORANG bapa akan berkorban apa sahaja demi membahagiakan keluarganya.
Namun, seorang anak belum tentu mampu membalas semula kebaikan bapanya.
Seorang pemuda bagaimanapun membuktikan sebaliknya, apabila kisahnya menjaga bapanya yang sedang uzur dengan penuh kasih sayang meraih perhatian.
Menerusi video yang tular, remaja berkenaan sanggup bangun awal pagi untuk memasak nasi goreng sebagai sarapan dan menyuapkannya kepada bapa yang yang kurang upaya.
Bercerita kepada mStar, Abdul Muqmin Mazni, 22, berkata, dia sanggup mengenepikan impian untuk menyambung pengajian dan mencari pekerjaan tetap demi bapanya.
"Abah berusia 56 tahun, menghidap penyakit darah tinggi. Pada 2016 abah diserang strok. Malam kejadian tu abah jatuh katil... kami bergegas bawa dia ke hospital.
"Doktor cakap abah ada darah beku di kepala dan perlukan pembedahan segera. Tapi selepas pembedahan, doktor cakap abah dah lumpuh dan tak ada harapan sembuh sebab ia melibatkan saraf.
"Abah tak mampu lagi menjaga dirinya sendiri dan memerlukan bantuan anak-anak," katanya ketika dihubungi.
Muqmin yang menetap di Jerteh, Terengganu memberitahu, ibunya meninggal dunia lima tahun lalu akibat kanser payudara tahap empat.
Muqmin menyediakan sarapan nasi goreng untuk bapanya.
Dia dan bapanya kini tinggal bersama kakak sulungnya yang bekerja sebagai seorang kerani di kilang kayu, manakala seorang lagi kakaknya menetap bersama suami di Subang, Selangor.
"Tipu la kalau saya tak teringin nak bina kerjaya, tapi saya sanggup tak bekerja untuk jaga abah. Saya tolak semua tawaran untuk sambung belajar, termasuk dalam bidang perkapalan.
Pekerjaan kita boleh cari tapi bukan kenangan dengan ibu bapa.
ABDUL MUQMIN MAZNI
"Dulu pada awalnya saya bekerja sebagai juruteknik di SME Aerospace, tapi saya berhenti sebab lebih mengutamakan abah. Sedih sebenarnya kerana meninggalkan semuanya.
"Tapi saya yakin dengan pulang ke kampung untuk jaga abah akan ada yang lebih baik menanti. Karier kita boleh bina semula di lain masa, tapi abah hanya ada satu," katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.
Kehidupan pemuda ini di kampung demi untuk menjaga ayahnya.
Muqmin seterusnya menceritakan rutin harian yang dilakukan dia bersama bapanya.
"Saya akan mulakan hari dengan pagi-pagi buat makanan untuk abah, bagi susu dan bawa dia jalan-jalan. Lepas tu kadang-kadang saya buat video TikTok dengan abah atau live.
"Saya buat video tu sebenarnya untuk menginspirasikan orang lain yang senasib dengan saya. Mereka di luar sana ada yang sanggup tinggalkan pekerjaan demi keluarga, saya nak mereka tahu yang mereka tak keseorangan.
"Sentiasa percaya pada rezeki, berbuat baik pada ibu bapa akan dilipatgandakan rezeki. Saya yakin dengan itu dan akan selalu berpegang dengannya. Pekerjaan kita boleh cari tapi bukan kenangan dengan ibu bapa," kata Muqmin.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.