Pemuda Sanggup Berhenti Kerja, Pilih Jaga Ayah Hidap Strok
Acap kali ditekankan dalam Islam, ibu bapa adalah insan yang perlu diangkat kerana merekalah yang membesarkan dan menjadikan kita insan yang berguna di atas muka bumi ini.
Jasa mereka dalam memastikan kita dibesarkan dengan baik, tiada tandingan dan mereka jugalah yang menjadi ‘pencorak’ kehidupan kita pada ketika ini.
Jika ingin menggambarkan pengorbanan mereka, tiada satu pun yang ‘tepat’ untuk digambarkan, kerana yang sempurna itu hanya mereka walaupun banyak kekurangan tetapi di mata anak, memang tiada cacat cela.
Jangka hayat di dunia ini tiada siapa yang tahu kecuali yang Maha Esa dan usia ibu bapa juga makin meningkat, dalam erti kata lain mereka juga semakin tua.
Apabila menginjak umur 50 tahun ke atas, badan semestinya akan berubah di mana tenaga juga tidak sama seperti dulu dan memerlukan pertolongan anak-anak untuk menjalani kehidupan seharian.
Lelaki pilih jaga ayah berbanding kerjaya
Seperti yang dilakukan oleh Abdul Muqmin Mazni, 22, di mana dia menggalas tanggungjawab dalam menjaga ayahnya, Mazni Abdul Hamid, 60, yang merupakan pesakit strok selama sembilan tahun.
Susulan sering mendokumentasikan kisah hidup, videonya yang dimuat naik di TikTok mula menarik perhatian warga maya kerana mendedikasikan kehidupannya kepada ayah yang tercinta.
Sungguh besar tanggungjawab yang digalasnya sebagai anak, apatah lagi ayahnya itu kini meniti hari-hari tua dengan penuh sepi sejak ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat kanser payudara.
Bermula dengan hanya video yang memaparkan rutin hariannya, siapa sangka pada pengakhiran klip tersebut terselit ayahnya yang membuatkan ramai tersentuh hati.
Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu berkata pada rutinnya setiap hari adalah sama, di mana setiap pagi dia akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk memandikan ayahnya.
“Kemudian, saya masak sarapan pagi dan suapkan ayah makan. Selepas itu, saya bawa ayah ambil angin menggunakan kerusi roda.
“Waktu petang pula, saya akan masak lagi sambil kemas rumah,” katanya kepada Siakap Keli.
Meskipun hanya memasak hidangan yang ringkas namun ia cukup untuk memastikan perut ayahnya sentiasa terisi dengan makanan.
Difahamkan ayahnya menghidapi penyakit darah tinggi, strok dan darah beku di kepala, selain doktor mengesahkan lumpuh dialaminya dikatakan tiada harapan untuk sembuh.
Rentetan kekurangan itulah membuatkan ayahnya terpaksa 'bergantung hidup' dengannya setiap masa.
Muqmin yang kini menetap bersama ayah dan kakaknya di rumah mereka di Jerteh, Terengganu berkata, disebabkan dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga tersebut, dirinya terpaksa 'menguburkan' cita-citanya.
Difahamkan sebelum ini dia bekerja sebagai juruteknik, namun mengenangkan ayahnya lebih memerlukan kudratnya, maka dia tekad meninggalkan kerjaya tersebut dan memilih berbakti di rumah sepenuh masa.
Walaupun pada sesetengah orang melepaskan kerjaya - di kala ekonomi kini yang mencabar - adalah sesuatu yang agak mustahil, namun bagi Muqmin, dia jauh lebih percaya dengan rezeki Allah S.W.T.
“Sentiasa bersangka baik dengan Allah, kerjaya boleh dibina, pekerjaan boleh dicari tetapi hilang ibu ayah tiada ganti,” ujarnya.
Selain itu, mungkin ada tertanya-tanya bagaimana dia membeli barang keperluan harian kerana dia sendiri tidak bekerja.
Namun menurut Muqmin, dalam kesempatan yang ada selain menguruskan ayah, dia juga ada mengambil upah servis cuci motosikal di depan rumahnya sendiri.
Malah tidak kurang juga ada sesetengah jirannya yang bermurah hati untuk berkongsi rezeki dengannya.
Difahamkan sebelum ini ayahnya - ketika sihat - pernah mencari rezeki seharian dengan membuat kerja-kerja kampung seperti menggait buah kelapa sawit, menjual ayam dan seumpamanya.
Pada ketika ini, perhatiannya diberikan sepenuhnya kepada ayah untuk memastikan bapanya mendapatkan perhatian yang cukup dan dijaga dengan baik.
“Saya memilih untuk fokus jaga ayah kerana ia lelaki mempunyai kudrat dan tenaga yang kuat untuk melakukan kerja tersebut.
“Saya adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Disebabkan itu saya simpan dulu hasrat untuk memiliki sesuatu benda,” katanya.
@gemux_official yang baik semuanya datang Dari Allah #allahsayang#fyp ♬ Cooking Time - ZydSounds
Sumber: @gemux_official/TikTok / siakapkeli
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.