Suami meninggal seminggu sebelum isteri bersalin... Gurauan arwah jadi kenyataan - “I tak dapat jadi pom pom girl… push sayang push”


Nanie tabah membesarkan dua orang anak lelaki tanpa suami di sisi.

SEORANG wanita berdepan ujian besar apabila terpaksa bertarung nyawa sendirian tanpa suami di sisi ketika melahirkan anak.

Menurut Nur Hanani Elias, lebih memilukan suaminya dijemput Ilahi pada 14 Disember 2020 akibat serangan sakit jantung iaitu seminggu sebelum dia melahirkan anak kedua mereka.

Ketika dihubungi mStar, Nur Hanani atau Nanie mengimbas kisah perit yang berlaku hampir tiga tahun lalu namun masih meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.

"Suami hidap penyakit jantung. Namun pada hari arwah meninggal tu dia nampak sihat je.

"Dia tak mengadu sesak nafas atau sakit dada malah boleh solat asar macam biasa. Tapi hari yang sama tu dia rebah pukul 6.10 petang.

Nanie berkongsi kisah mengenai kematian suami yang dirindui sehingga kini.

"Masa tu dia nak mandi, tiba-tiba dia mengadu sakit dada. Terus dia tumbang. Pukul 6.45 ambulans sampai dan sahkan dia dah meninggal. Sekejap sangat semua tu berlaku," ujarnya kepada mStar.

Menurut Nanie, pada ketika itu dia bagaikan tidak percaya mengenangkan anak yang masih di dalam kandungan tidak sempat berjumpa dengan bapa sendiri apabila dilahirkan pada 21 Disember 2020.

Terdahulu Nanie berkongsi kisah dukanya berjuang melahirkan anak ketika masih berduka atas pemergian suami tersayang ke 'negeri abadi'.

Cerita kesusahannya mengawal emosi, memujuk hati sendiri serta pada masa sama terus menyayangi dua zuriat yang ditinggalkan arwah suami mengundang sebak warga maya hingga perkongsian di TikTok meraih lebih 228,000 tontonan setakat ini.

Bercerita lanjut, Nanie berkata air matanya terus gugur apabila terpaksa melalui proses bersalin di hospital tanpa suami, Allahyarham Hassanul Hakimi Ahmaddin yang meninggal pada usia 30 tahun.

Lebih mengundang sebak apabila Nanie menerima soalan mengenai suami sewaktu dia mahu bersalin.

"Masa saya bersalin tak ada siapa teman. Ibu bapa saya kena jaga anak sulung saya yang berusia setahun setengah pada masa tu. Sebelum ke labour room ada nurse minta telefon suami.

"Saya beritahu yang suami saya dah meninggal dunia. Semua dekat situ terkedu dan terdiam. Bergenang air mata sebab memang tak okey tapi saya tak sabar nak jumpa baby.

"Masa tu teringat ayat arwah suami sebelum ini... 'Nanti you bersalin, I tak dapat la jadi pom pom girl. Push sayang push. Harraz (anak sulung) dulu boleh la. Yang ni tak dapat'," katanya yang hanya sempat merasai nikmat berumah tangga selama dua tahun empat bulan.

Tempoh berpantang anak kedua dulu saya bermain dengan emosi... tapi lega ada orang sekeliling yang prihatin.

NUR HANANI

Menurut Nanie yang merupakan stokis produk makanan tambahan sebuah jenama terkenal itu lagi, dia bersyukur dikurniakan ibu bapa yang sentiasa ada di belakangnya dalam mengharungi setiap ujian.

"Syukur sangat, walaupun banyak halangan tapi dengan kuasa Allah bayi berjaya dilahirkan.

"Masa mengandung dan beranak sebelum ni semua keperluan makan dan pakai suami sediakan tapi sekarang saya ada ibu bapa yang banyak bantu.

"Masa awal-awal tak ada suami tu memang susah nak uruskan semua hal sendiri. Tapi keluarga sendiri dan mentua banyak bantu sampailah sekarang," katanya.

Nanie kini bergelar ibu tunggal setelah kematian suami hampir tiga tahun lalu.

Ujar wanita yang berasal dari Terengganu itu lagi, dia bersyukur apabila urusannya sentiasa dipermudahkan lebih-lebih lagi ketika di awal fasa menjadi seorang balu.

"Tempoh berpantang anak kedua dulu saya bermain dengan emosi. Tapi lega ada orang sekeliling yang prihatin dengan keadaan saya masa tu.

"Saya ingat lagi masa anak sulung tak boleh tidur dulu, saya selimutkan dengan kain pelikat terakhir yang arwah suami pakai. Barulah Harraz boleh tidur lepas tu.

"Sebenarnya anak nombor dua memang muka dia saling tak tumpah dengan arwah suami. Rupanya Allah ambil suami tapi gantikan dengan anak kedua yang muka, rambut, cara makan dan tidur sampai posisi duduk pun sama," katanya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post