Termenung kosong tepi kubur, si bongsu tak tunjuk sedih kematian bapa - “Dia ingatkan kami sedekah al-Fatihah”


Qisya kelihatan tabah ketika hari pengebumian bapanya.

KEHILANGAN insan tersayang yang terlebih dahulu dijemput ajal sememangnya terlalu perit untuk dihadam.

Begitulah juga dengan si kecil ini yang kematian bapa pada usia sangat mentah, baru-baru ini.

Riak polos wajahnya dengan pandangan mata yang benar-benar 'kosong' ketika berada di pusara si bapa, membuatkan ramai seakan-akan turut sama menyelami perasaan sedihnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nornazwa Ithnin berkata, video memaparkan anak bongsunya, Nurul Qisya Azzahra yang berusia enam tahun dirakam sewaktu hari pengebumian suaminya pada 2 Oktober lalu.

Menurut wanita berusia 39 tahun ini, suaminya, Nurul Ridhwan, meninggal dunia akibat penyakit kanser serta jangkitan kuman pada paru-paru.

"Arwah suami saya sihat saja dan tak nampak pun tanda-tanda dia sakit sebelum ini meskipun dia seorang yang kuat bekerja.

"Bagaimanapun segala-galanya bermula pada 12 Julai lalu, di mana dia tiba-tiba jatuh sakit ketika sedang bekerja dan dimasukkan ke wad. Pada mulanya doktor tak dapat mendiagnosis penyakitnya.

"Akhirnya selepas buat pemeriksaan imbasan (scan) lebih lanjut, baru dapat kesan ada tumor pada testis, keretakan tulang belakang, batu karang di buah pinggang dan juga kanser Sarcoma.

"Bermulalah episod suami keluar masuk hospital sejak itu," ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Tambah Nornazwa, selepas kira-kira lebih dua bulan menderita sakit, suaminya menghembuskan nafas terakhir pada petang 1 Oktober.

Nornazwa bersama empat anaknya ketika menziarahi arwah di hospital.

"Semuanya berlaku secara mendadak. Namun saya dan anak-anak reda kerana tahu arwah menanggung kesakitan yang teramat.

"Kansernya terlalu ganas dan cepat merebak bermula dari pinggang, bawah perut, kaki sehingga ke dada.

"Beberapa hari sebelum arwah 'pergi', kami sekeluarga dapat luangkan masa di hospital. Waktu itu sebelum arwah ditidurkan. Doktor terangkan ada pelbagai risiko antaranya mungkin koma, hilang ingatan ataupun kematian.

"Arwah tenang saja dengar penerangan doktor. Saya mohon ampun maaf, beritahu dia 'sayang rehatlah, nanti sayang tak sakit lagi. Sayang kena kuat'.

"Arwah jawab 'jom kita rehat sama-sama'. Itulah momen paling sedih dan yang terakhir kami," ujarnya yang menetap di Simpang Renggam, Johor.

Qisya sentiasa ingatkan kami jangan lupa sedekah al-Fatihah kepada arwah.

NORNAZWA ITHNIN

Bercerita mengenai keperibadian suaminya, Nornazwa berkata arwah merupakan seorang bapa yang sangat penyayang selain gemar menghabiskan masa bersama-sama keluarga.

"Arwah suami rapat dengan anak-anak... rutinnya sebelum tidur, pasti akan ada pelukan serta ciuman. Dia juga suap anak-anak makan, rajin memasak. Dengan adik-beradik saya juga arwah sangat rapat.

"Anak ketiga saya yang berusia 10 tahun paling terkesan. Ketika kami menangis, Qisya la yang tenangkan, comfort saya dan kakak-kakaknya walaupun dia juga menangis.

"Dia budak yang tabah dan macam orang dewasa. Saya kata 'kuatnya baby'. Dia jawab 'Qisya tak nak papa sakit lagi. Biarlah papa rehat, papa tunggu Qisya nanti'.

"Saya sendiri menangis tengok video dia termenung tu. Hingga kini, Qisya sentiasa ingatkan kami jangan lupa sedekah Al-Fatihah kepada arwah," ujarnya yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Gambar kenangan Nornazwa serta anak-anak bersama arwah.

Tidak menyangka video yang dimuat naik oleh adik iparnya di TikTok menjadi tular, Nornazwa berkata dia terharu apabila ramai yang turut mendoakannya serta anak-anak agar kuat menempuhi ujian.

"Terima kasih kepada yang mendoakan, yang sedekahkan al-Fatihah kepada arwah. Semoga kebaikan berbalik kepada mereka semula.

"Saya kini kena kuat untuk ambil alih tanggungjawab arwah. Kini saya baru berjinak-jinak ceburi bisnes untuk menyara anak-anak.

"Kepada mereka yang juga sedang merasai kehilangan orang tersayang, moga dikurniakan ketabahan," akhirinya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post