Wanita terima abang arwah tunang jadi suami, terkejut tengok wajah seiras... Tiga minggu ambil masa minta petunjuk Allah


 Nina dijodohkan dengan Shahron iaitu abang kepada arwah tunangnya, Shahridzuan (kiri).

KEHILANGAN bakal suami sebulan sebelum majlis pernikahan benar-benar menguji emosi dan mental seorang wanita.

Dalam sekelip mata arwah tunangnya, Shahrizuan Shukri, 28, pergi buat selama-lamanya selepas ditemukan lemas di sebuah sungai di Pasir Pekan, Kelantan dalam kejadian pada 25 Mei lalu.

Bimbang dengan keadaan Nur Malina Mohd Rozani, keluarganya mencadangkan agar dia dijodohkan dengan abang arwah, Shahron Shukri yang berusia 32 tahun.

"Selepas tunang meninggal, saya alami kemurungan. Mana tidaknya, tunang saya 'pergi' secara mengejut sedangkan kami dah tak lama nak menikah.

"Tapi saya bersyukur sangat mak ayah dia jaga saya dengan baik sedangkan saya cuma hilang tunang je tapi mereka kehilangan seorang anak. Mereka cakap tak nak sia-siakan saya jadi putuskan untuk jodohkan saya dengan abang arwah.

Nina dan Shahron diijabkabulkan pada 8 September lalu.

"Masa mula-mula kenal abang dia memang susah nak terima dalam hidup ni. Tapi saya tak nak kehilangan keluarga arwah yang baik ni, jadi saya cuba minta petunjuk daripada Allah," ujarnya wanita berusia 24 tahun itu kepada mStar.

Ujarnya yang lebih senang disapa Nina, sebelum ini, Shahrizuan seolah-olah memberikan petanda bahawa dia akan 'pergi' meninggalkannya.

"Sebelum dia meninggal, arwah banyak tinggalkan pesanan. Macam dia tahu tiba masanya dia untuk 'pergi', cuma kami je yang tak nampak hint tu.

"Sebelum ni, arwah selalu cakap dekat saya yang abang dia ni tak kahwin lagi. Dia nak sangat cari jodoh untuk abang dia yang serupa macam saya.

"Disebabkan pesanan itulah membuatkan saya nak terima abang dia dalam hidup ini," ujarnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Tambah Nina yang merupakan seorang guru tadika di Kelantan, sebelum ini dia tidak pernah mengenali Shahron secara dekat.

Alhamdulillah... rupa-rupanya apabila reda dengan aturan Allah, mudah saja datang perasaan nak terima suami dalam hidup.

NUR MALINA

Namun, dia yakin apa yang berlaku dalam hidupnya merupakan takdir dan jodohnya dengan Shahron juga adalah aturan Allah untuknya.

"Masa mula-mula tengok suami dulu memang agak terkejut sebab muka sama sangat-sangat. Masa tu saya tak reti nak gambarkan perasaan tu.

"Memang terkejut masa mula-mula tengok. Sebelum ni saya cuma tahu nama dan wajah mereka ni memang mirip.

"Abang dia pun tak kenal saya sangat. Cuma ada juga dengar sebelum ni yang dia puji cakap saya ni bagus... jadinya sepadan dengan adik dia," jelas Nina.

Ujar Nina, dia tidak menyangka perkongsian video tentang perjalanan kisah bersama arwah tunang dan jodohnya yang dimuat naik pada awal September lalu tiba-tiba menjadi tular pada Selasa.

Perkenalan singkat pasangan ini selama tiga minggu berakhir dengan sebuah perkahwinan.

Rata-ratanya begitu teruja dengan perkongsian Nina kerana dianggap seperti sebuah filem atau drama.

Perkenalan singkat selama tiga minggu berakhir dengan sebuah pernikahan pada 8 September lalu apabila Nina dan Shahron selamat diijabkabulkan di Masjid Ismail Petra, Tanah Merah, Kelantan.

"Bagi saya, tak salah pun untuk bercinta selepas kahwin. Alhamdulillah, rupa-rupanya apabila reda dengan aturan Allah, mudah saja datang perasaan nak terima suami dalam hidup.

"Hidup kami sekarang bahagia sangat-sangat. Saya pun tak sangka perjalanan percintaan saya ni begitu perit tapi berakhir dengan indah. Saya terima suami dengan ikhlas.

"Saya tak nak hidup dengan Shahron tapi terbayang Shahridzuan. Jadi sebelum kahwin saya dah nekad nak terima suami saya sebagai diri dia saja. Saya tak mengharapkan pun perangai dia sama dengan arwah," katanya.

Sumber: mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post