Selebriti versatil, Alif Satar tidak menyangka kempen #GengSubuhMacamJumaat yang pada asalnya memberi galakan kepada orang ramai menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengikut.
Alif Satar rasa bertanggungjawab, ajak solat Subuh berjemaah di masjid
Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, solat Subuh berjemaah perlu dilakukan oleh setiap umat Islam sebelum orang ramai lantang bersuara mahu melawan rejim Zionis.
“Kalau solat Subuh berjemaah pun susah nak buat, jangan sembang pasal nak lawan Zionis,”kongsi Alif Satar.
Penyanyi berusia 35 tahun itu berkata, semuanya bermula berkait rapat dengan konflik yang sedang berlaku di Gaza, Palestin.
Cerita Alif, kata-kata seorang ustaz dalam satu kelas agama yang dihadirinya telah membuatkan dia memulakan kempen tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat sebagai galakan kepada orang ramai.
“Saya pergi ke kelas agama, kemudian ada orang bertanya kepada ustaz yang mengajar. Bagaimana kita nak menang melawan Zionis?
“Kemudian, ustaz itu bertanya, ‘kau pergi solat Subuh tak?’ Orang itu cakap, tidak sebab takut mengantuk. Ustaz itu cakap, kalau mengantuk pun takut, nak sembang pasal lawan Zionis? Kena betulkan yang itu dulu.
“Ada hadis Rasullah SAW mengatakan, sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jika mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanganinya walaupun dalam keadaan merangkak.
“Terus saya rasa tertembak (terkesan),”katanya.
Akui sukar nak istiqomah, tapi perlu kerana bimbang disoal…
Dalam pada itu, pelatun lagu Cukup Indah mengaku dirinya berdepan dengan cabaran untuk kekal beristiqomah, namun dirinya perlu melakukan ia demi diri sendiri.
Alif berkata, buat masa ini dia menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid kawasan tempat tinggalnya selain turut merancang untuk pergi ke masjid-masjid lain dan mengajak orang ramai.
“Nak istiqomah itu yang agak mencabar. Tapi, kita kena buat untuk diri kita sendiri. Alhamdulillah, saya dapat sokongan juga daripada komuniti di masjid. Malah, ada rakan-rakan artis lain juga yang ingin turut serta.
“Selalunya, satu saf saja, sekarang dah jadi dua saf. Ada peningkatan. Ada sekali di hujung minggu saya ajak orang-orang yang turut serta untuk berjumpa di masjid.
“Selepas itu, orang di masjid maklumkan, malam sebelum itu pun dah ada orang yang tidur di masjid menunggu waktu Subuh,” katanya.
Tidak lokek berkongsi, Alif berkata dia akan terus menggunakan platform media sosial yang dimiliknya ke arah kebaikan dengan mengajak mereka melakukan sesuatu ke jalan Allah selain bersenam.
“Kadang-kadang, kita diberikan pengikut, dan disertakan dengan tanggungjawab. Saya pun takut, kalau esok Allah nak soal, dia dah berikan 3.4 juta pengikut sekadar untuk ajak bersenam saja?” katanya lagi.
Jelas Alif, segala yang dilakukannya itu adalah langkah mahu mengubah dirinya selain mengajak 3.4 pengikut Instagramnya pergi menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid berhampiran.
“Saya fikir, sudahlah saya baru balik dari menunaikan haji. Saya selalu suruh orang pergi bersenam jam 5.30 pagi, kemudian barulah pergi menunaikan solat Subuh.
“Kenapa saya tak betulkan keutamaan saya sendiri? Saya rasa, misi saya pun salah. Rupa-rupanya saya kena luruskan dulu diri saya dan semua perkara akan ikut lurus di jalan yang betul.
“Saya lantang bersuara mengenai solidariti dan sebagainya, tapi benda yang patut diutamakan (solat Subuh berjemaah di masjid), saya tak buat pula. Itu yang buatkan saya rasa saya perlu bertindak.
Sumber: Harian Metro (Syafil Syazwan Jefri) / ohmymedia
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.