Majlis kahwin kucar-kacir katerer tak muncul, lesap RM13k! Sekeluarga nekad cari kerusi meja, masak sendiri cuma 1 lauk


Satu keluarga terpaksa masak sendiri gara-gara khidmat katerer didakwa tidak muncul.

MAJLIS perkahwinan yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan bertukar menjadi huru-hara selepas katerer yang diupah tidak muncul untuk menyediakan makanan dan minuman.

Hal itu tular selepas salah seorang ahli keluarga pengantin tampil memohon maaf kepada semua tetamu yang hadir ke majlis mereka yang serba kekurangan.

“Saya mewakili keluarga Ustaz Shukor memohon ribuan kemaafan andai yang hadir ke majlis perkahwinan adik saya hari ini hanya dapat menjamu juadah sekadarnya sahaja,” tulis abang kepada pengantin perempuan menerusi satu hantaran di laman sosial.

Keluarga mencari meja dan kerusi untuk tetamu di dewan. -Gambar ihsan Burhanuddin Rabbani

Bercakap kepada mStar, abang pengantin, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor mendakwa, mereka sekeluarga ditipu sebuah syarikat katerer.

Menurutnya, tempahan yang dibuat oleh adik perempuannya dianggarkan untuk 1,000 tetamu namun pihak katerer tidak dapat dihubungi sehingga sehari sebelum majlis persandingan yang berlangsung pada Ahad.

“Semalam selepas nikah, adik saya datang tengok ke dewan majlis tapi yang ada cuma pelamin saja. Dewan kosong tak ada meja dan kerusi untuk tetamu.

“Banyak kali kami cuba hubungan katerer tu tapi tiada respons. Masa tu adik dah berdebar-debar dah, pening juga kami adik-beradik nak fikir,” katanya ketika dihubungi mStar.

Keluarga memasak satu lauk iaitu gulai ayam. -Gambar Najmudin.Shukor

Burhanuddin berkata, sehingga pukul 9 malam Sabtu masih tiada respons menyebabkan mereka sekeluarga membuat keputusan drastik untuk masak sendiri.

“Dewan dah tempah, kami dah jemput tetamu untuk datang. Nak cari katerer untuk tampung semua tak sempat, jadi kami sekeluarga buat kerja sendiri.

“Kami berpecah kepada beberapa kumpulan semalam. Ketika itu kami hanya mampu untuk siapkan dalam anggaran 400 pax makanan.

“Ada yang cari set meja dan kerusi. Kami cari periuk-periuk besar, cari barang-barang untuk masak,” ujarnya mengenai majlis yang diadakan di dewan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Keluarga bekerjasama menyiapkan bahan masakan. -Gambar Najmudin.Shukor

Mengenai majlis perkahwinan adiknya yang merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, Burhanuddin bersyukur kerana segala urusan gotong-royong dipermudahkan.

“Nampak macam ujian untuk pengantin, tetapi sebenarnya Allah nak uji kami adik-beradik. Syukur, kami semua sangat positif, tidak salahkan sesiapa antara kami kerana perkara sudah berlaku.

Walaupun hanya satu lauk tapi Allah Maha Kaya, sampai habis majlis lauk-pauk masih ada.

BURHANUDDIN RABBANI ABDUL SHUKOR

“Kami cuba dengan apa yang ada dan termampu serta keluar duit sendiri. Biar ada meja warna itu ini, ada bulat ada petak tapi kami tetap penuhkan dalam dewan.

“Ditambah dengan makanan katerer lain sebanyak 100 pax, jumlah jadi 500 pax. Tapi kami tak kurangkan tetamu, tak tolak jemputan dan tidak minta pun mereka supaya jangan datang,” katanya.

Majlis perkahwinan berlangsung secara sederhana tetapi lancar. -Gambar ihsan Burhanuddin Rabbani

Tambah Burhanuddin keluarganya menggunakan khidmat pihak lain untuk pelamin di dewan.

Menurut usahawan soya yang menetap di Seremban itu, mereka sekeluarga bersyukur walaupun majlis berlangsung secara sederhana tetapi lancar.

“Walaupun hanya ada satu lauk yang kami masak iaitu gulai ayam tapi Allah Maha Kaya, sampai habis majlis lauk-pauk masih ada, tak habis pun. Syukur semuanya cukup,” katanya.

Tambah Burhanuddin, jumlah perbelanjaan baharu yang dikeluarkan adalah kira-kira RM7,000 meliputi bahan mentah untuk masak dan tambahan 100 pax makanan menggunakan khidmat katerer lain secara adhoc.

Burhanuddin bersyukur majlis persandingan adik tetap berlangsung.

Sementara itu, pengantin perempuan, Raudhah Sakinah Abdul Shukor berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut pada Sabtu malam.

Jelasnya, kerugian yang dialami kira-kira RM13,000 termasuk rancangan asal daripada katerer tersebut untuk pelamin dan khidmat DJ.

“Saya mula rasa tak sedap hati sejak Rabu (20 Disember) lalu kerana setiap mesej saya tidak dibalas dan tiada pengesahan akhir. Jujurnya, perasaan saya bercampur baur, ada marah dan kecewa.

“Tapi saya bersyukur kerana dihadirkan dengan keluarga, adik-beradik dan kawan-kawan rapat yang banyak membantu untuk melakukan yang terbaik,” katanya yang berusia 26 tahun.

Keluarga tetap gembira meneruskan majlis perkahwinan. -Gambar ihsan Burhanuddin Rabbani

Menurut Raudhah, kekuatannya mengharungi hari bahagia sebagai pengantin adalah daripada adik-beradiknya dan semua pihak yang hadir bersatu-padu membantu dan menyokong.

“Saya nikah semalam tapi dah kena pergi balai polis buat report, sebenarnya bukan momen yang terbaik. Tapi saya positif apabila semua beri semangat.

“Duduk di pelamin tak rasa sedih dengan ujian yang berlaku, tapi terharu dengan sambutan tetamu yang turut beri sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya lagi.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post